Powered By Blogger

Wednesday, May 19, 2010

PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN IMAN

Banyak perbuatan kita yang selama ini kita telah lakukan sering bersangkutpaut dengan amalan kehidupan harian kita. Kadangkala ia menjadi bahan gurau senda di kalangan masyarakat yang mengaku dirinya Islam. Berikut adalah perkara-perkara yang kita mesti perhatikan kerana ia boleh membatal dan merosakkan iman kita :
1. Syirik kepada Allah.
Syirik bererti menyembah selain Allah. Sembahan tersebut adalah dalam bentuk yang nyata atau yang tidak nyata seperti penyembahan patung, wang ringgit, harta benda, manusia, syaitan dan juga hawa nafsu.
Firman Allah s.w.t.; Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan dengan kezaliman mereka itulah yang mendapat ke amanan dan mereka itu mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. ( s. al Anam 82)
2. Tidak ikhlas.
Melakukan amal saleh tanpa keikhlasan kepada Allah boleh menyebabkan keimanan menjadi lemah dan akhirnya hilang. Allah tidak menerima amal yang tidak ikhlas atau yang tidak mencari keredhaanNya.
Firman Allah s.w.t.; Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya lagi tetap teguh di atas tauhid dan supayA mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar. ( s. al Bayyinah 5)
Sabda Nabi s.a.w.; Allah s.w.t. tidak melihat kepada tubuh kalian dan tidak pula kepada bentuk kalian. Allah s.w.t. hanya melihat kepada hati dan perbuatan kalian. (HR Muslim)

3. Ragu-ragu (tidak yakin).
Tidak yakin dengan al Qur'an atau pertolongan Allah, atau pemeliharaan Allah atau kebaikkan-kebaikan yang Allah akan kurniakan kepada orang beriman yang beramal-saleh akan menyebabkan iman menjadi lemah dan akhirnya hilang.
Firman Allah s.w.t.; Dan di antara manusia itu ada orang-orang yang menyembah Allah dengan berada di pinggir (tidak dengan penuh keyakinan atau ragu-ragu) hingga jika ia beroleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana berbaliklah ia ke belakang, rugilah ia dunia dan akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. (s. al Haj 11)
Firman Allah : Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir) tidak masuk kepada gulungan ini (orang-orang beriman) dan tidak pula kepada golongan itu (orang kafir), maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan untuk memeberi petunjuk baginya. (s. an Nisa'143)
4. Mencampuri orang zalim.
Mencampuri orang zalim dengan niat menyetujui apa yang mereka lakukan atau mengikuti dengan rela hati apa yang mereka lakukan akan merosakkan keimanan yang telah Allah kurniakan.
Firman Allah s.w.t.; Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang akan menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (s. Huud 113)
5. Kecewa dan putus asa.
Sifat kecewa atau putus asa bererti tidak yakin dan tidak redha dengan ketentuan Allah. Sebaliknya kegagalan yang dialami hendaklah dihadapi dengan penuh kesabaran, keredhaan serta banyak memohon keampunan dariNya.
Firman Allah s.w.t; Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat (nikmat) dari Kami, kemudian rahmat itu kami cabut daripadanya, pasti dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. (s. al Huud 9)
6. Mentaati orang kafir, fasiq dan munafiq.
Orang beriman dilarang dari mentaati orang kafir, fasiq atau munafiq pada perkara-perkara yang yang jelas dilarang oleh Allah seperti yang dinyatakan di dalam al Qur'an dan al Hadis. Di antaranya ialah memilih mereka menjadi pemimpin untuk masyarakat yang beragama Islam.
Firman Allah s.w.t.; Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi. ( s. Ali Imran 149)
Firman Allah : Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung. (s. Al Ahzab 48)
7. Mengikuti langkah-langkah syaitan.
Mengekalkan akhlak yang tercela seperti bersifat sombong, angkuh, bakhil, tidak ikhlas, tidak amanah serta tidak berusaha untuk membaiki diri (membuang sifat-sifat tersebut) adalah mengikuti langkah-langkah syaitan. Syaitanlah yang akan menjadi pembimbing dan penentu arah kehidupannya sehingga akhirnya keimanannya akan musnah.
Firman Allah s.w.t.; Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar... ( s. An Nuur 21)
8. Mengambil selain Allah dan Rasul.
Apabila orang yang beriman mengenepikan al Qur'an dan al Hadis Nabi Muhammad s.a.w. secara sengaja dalam menjatuhkan hukuman atau keputusan atau tindakannya bererti dia telah mendurhakai Allah dan RasulNya.
Firman Allah s.w.t.; Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada baginya pilihan yang lain tentang urusan merekaa. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata. (s. al Ahzab 36)
9. Meninggalkan jihad.
Jihad bererti berusaha untuk meninggikan Kalimah Allah di atas muka bumi ini dalam bentuk yang begitu luas. Di antaranya ialah berdakwah tentang keimanan dan Islam terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Meninggalkan jihad tersebut bererti kita tidak cintakan Allah dan rasulNya.
Firman Allah s.w.t.; Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakn, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. ( s. at Taubah 24)

10. Khianat.
Berlaku khianat bererti kita mendedahkan rahsia kita kepada musuh kita, atau meninggalkan amanah yang telah diserahkan kepada kita dengan sengaja.
Firman Allah s.w.t.; Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasulnya, dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui… ( s. al Anfal 27-28)
Sebagai kesimpulannya, Marilah kita berusaha menghindari perkara-perkara ini selagi nyawa dikandung badan. Apabila jasad terbujur kaku tidak bernyawa maka tidak ada lagi peluang untuk kita memperbaiki diri terutama iman kita yang cukup berharga.

No comments:

Post a Comment