Powered By Blogger

Tuesday, February 28, 2012

PUASA ELAK OTAK MENGECUT


LONDON 28 Feb. - Kajian saintifik perubatan Barat mendapati berpuasa dua kali seminggu boleh mengelakkan otak individu daripada mengecut dengan pertambahan umur, selain manfaat kepada mereka yang menghidapi penyakit jantung, diabetes dan kanser.


Berpuasa pada masa dulu pernah digunakan dalam rawatan perubatan namun kajian terbaru menunjukkan ia perlu diterapkan semula.

Ini kerana ia mampu mencetuskan pelbagai hormon yang membantu meningkatkan kesihatan selain perubahan metabolisme badan.


Berpuasa selama beberapa hari hanya melibatkan pemakanan makanan antara 500 dan 800 kalori sehari sahaja berbanding hari biasa iaitu 2,000 kalori bagi wanita dan 2,500 kalori (lelaki).


Ia menurunkan tahap hormon yang dikaitkan dengan kanser dan diabetes selain kolestrol 'tidak baik' dan triglyceride dalam darah serta pengurangan radikal bebas, molekul yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit.


Ketua Neorosains Institut Penuaan Nasional Amerika Syarikat (AS), Profesor Mark Mattson berkata, faedahnya sama seperti anda bersenam. Ia boleh melindungi otak daripada penyakit kemerosotan otak seperti Alzheimer dan Parkinson.


Dalam satu kajian yang dilaporkan oleh Jurnal Obesiti Antarabangsa tahun lepas, sekumpulan wanita obes dan gemuk diberikan pemakanan melibatkan 1,500 kalori sehari untuk satu minggu.


Satu lagi kumpulan diberikan pemakanan 500 kalori untuk dua hari dan kemudian 2,000 kalori setiap hari pada lima hari seterusnya.

Pakar diet Universiti Manchester, Dr. Michele Harvie yang mengetuai kajian itu berkata, kedua-dua kumpulan menunjukkan penurunan berat badan yang sama selain pengurangan sama penanda biologi yang boleh meningkatkan risiko kanser.


Rujukan : Utusan Malaysia (28/2/2012)

Monday, February 27, 2012

KITAB INJIL 1,500 TAHUN DI TEMUI




ANKARA: Satu naskhah kitab Injil berusia 1,500 tahun yang mengandungi ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Nabi Muhammad menarik perhatian Vatican apabila pemimpin agama Roman Katolik, Pope Benedict XVI, dilaporkan meminta untuk melihat kitab itu, yang disembunyikan di Turki sejak 12 tahun lalu.Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki Ertugrul Gunay, memberitahu akhbar Daily Mail, naskhah yang dianggarkan bernilai AS$22 juta (RM66 juta) itu mengandungi ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Muhammad.

Bagaimanapun Gereja Kristian menghalang maklumat itu daripada disebarkan dan diketahui ramai selama bertahun-tahun, berikutan persamaannya dengan pandangan Islam mengenai Nabi Isa, katanya.


Dalam Islam, Nabi Isa dilayan sebagai manusia, bukan Tuhan. Ia menolak idea Holy Trinity dan penyaliban serta mendedahkan ramalan Nabi Isa mengenai kedatangan Nabi Muhammad.Dalam satu versi kitab Injil itu, Nabi Isa dikatakan bercakap dengan paderi: Bagaimana hendak memanggil penyelamat itu? Dia Mohammed adalah nama diberkati.


Dalam satu lagi catatan, Nabi Isa menafikan beliau adalah penyelamat sebaliknya orang itu datang dari golongan Ismaili merujuk kepada bangsa Arab keturunan Nabi Ismail.Menurut laporan, umat Islam mendakwa naskhah itu, yang dikatakan ramai ialah Injil Saint Barnabas, adalah tambahan kepada Injil asli Mark, Matthew, Luke dan John. Saint Barnabas secara tradisi dikenali sebagai pengasas Gereja Cypriot dan seorang mubaligh era awal perkembangan agama Kristian.Gunay berkata, kitab Injil berkenaan ditulis tangan di atas kulit haiwan dengan emas menggunakan bahasa Aramaik (dipercayai hampir serupa dengan bahasa Hebrew).


Beliau berkata, Vatican secara rasmi meminta untuk melihat buku itu, yang ditemui Turki ketika operasi antipenyeludupan pada 2000. Kumpulan samseng dilaporkan menyeludup pelbagai artifak purba.Ia dikawal ketat oleh pihak berkuasa sebelum diserahkan kepada Muzium Etnografi Ankara dan akan dipamerkan tidak lama lagi. Salinan muka surat tunggal yang ditulis Nabi Isa dilaporkan bernilai AS$2.4 juta (RM7.2 juta).


Bagaimanapun, keraguan mengenai keaslian manuskrip bertulis tangan itu mula timbul. Paderi Protestan, Ihsan Ozbek, berkata buku versi itu dikatakan dari abad kelima atau keenam, manakala Saint Barnabas hidup pada abad pertama sebagai seorang daripada pesuruh Nabi Isa. Agama Kristian hanya menganggap Bible tulisan Mark, Matthew, Luke dan John yang diterima sedangkan tulisan mereka berbeza-beza dan tidak sama antara satu dengan lain dan mereka hidup terkemudian berbanding dengan Barnabas.


Kewujudan Injil original ini membuktikan ada manuskrip Kristian yang menyokong kesahihan al-Quran, sedangkan tiada manuskrip Islam yang menyokong kesahihan mengenai ketuhanan Yesus


Rujukan :


Berita harian 2012/02/28

SECRETS OF THE DEATH SEA SCROLLS

Sejarah tiga agama langit iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam telah diterima sebagai suatu anutan yang berdasarkan kepada ketetapan kitab suci masing-masing. Keutuhananya adalah berdasarkan kekuatan dan kebenaran kitab suci yang diterima sebagai sakral serta tidak boleh dipertikaikan lagi. Namun, penemuan skrol di Laut Mati pada tahun 1947 oleh seorang Arab Badwi yang kehilangan kambing di gua Qumran berdekatan Laut Mati sebaliknya dipercayai memberi kesan yang sangat signifikan kepada ketiga-tiga agama berkenaan. Skrol tersebut bukan sahaja menjadi rebutan di kalangan ahli arkeologi dalam menilai sejarah kota suci Jerusalem yang menjadi konflik hari ini tetapi sangat penting kepada sarjana atau ahli agama yang mahu menilai semula implikasinya kepada kebenaran agama masing-masing. Penulis dalam bukunya Secrets of the Death Sea Scroll yang diterbitkan pada 1993 dan kemudiannya direvisi semula pada 2001 cuba membincangkan beberapa persoalan penting iaitu siapakah yang sebenarnya Jesus?, apakah beliau seorang pemberontak Yahudi, Anak Tuhan atau seorang Rasul?. Skrol ini juga didakwa dapat memberikan gambaran sebenar mengenai ajaran yang dibawa oleh baginda ketika itu. Walaupun buku ini tidak tebal, ia berupaya menyampaikan matlamat penulis melalui sepuluh bab yang dihuraikan secara ringkas tetapi padat.

Dalam membincangkan tentang persoalan di atas, Bab kedua buku ini menghuraikan sejarah awal penemuan skrol oleh seorang Arab Badwi bernama Muhammad al-Dhib di gua Qumran berdekatan dengan Laut Mati. Beliau yang menyangka telah berjumpa dengan kendi harta karun menemui skrol berkenaan dibalut oleh kain putih yang telah reput. Muhammad menjual kain itu kepada seorang peniaga Kristian yang seterusnya menjualkannya pula kepada Athanasius Yeshua Samuel, ketua Gereja Ya’akubiyyah di Jerusalem. Samuel menjualkan skrol itu ke Amerika Syarikat dan dalam masa yang sama, ia juga dibeli oleh Jabatan Arkeologi Universiti Hebrew di Jerusalem. Arab Badwi itu juga menunjukkan sebahagian dari skrolnya kepada Joseph Saad, Pengarah Rockefeller Muzium Jerusalem pada 1951. Joseph mengambil inisiatif melakukan usaha mencari skrol dan khazanah lain yang masih terdapat di gua berkenaan secara besar-besaran. Dalam masa lima tahun berikutnya, usaha ini menarik minat banyak ekspedisi di mana mereka telah mengali sebanyak lebih daripada tiga ratus buah gua. Walaupun hanya sepuluh gua sahaja yang didapati mengandungi skrol, ekpedisi turut menemui artifak sejarah lain yang berharga dalam runtuhan kota dan kubur di Khirbet Qumran. Pada tahun 1953 pihak Rockefeller Muzium telah menubuhkan satu badan bernama International Editing Team yang terdiri daripada tiga orang Paderi Peranchis, seorang Paderi dari Amerika dan Poland, seorang pakar bible Amerika serta seorang ahli philologi terkenal Britain bagi tujuan mengumpul, menterjemah dan menerbitkan skrol yang berbahasa Hebrew kuno itu.

Volume pertama yang menerangkan tentang skrol berkenaan berjaya diterbitkan pada 1955 dan pada 1958 pula badan ini menyatakan bahawa hampir semua cebisan skrol itu telah dapat dikumpul, dikenalpasti dan dirakamkan gambarnya. Pada 1962, Father De Vaux ketua badan berkenaan menyatakan bahawa semua informasi mengenai skrol itu akan dapat diterbitkan pada pertengahan 1962. Namun di antara tahun 1955 dan 1990 hanya mampu menerbitkan lapan volum laporan yang hanya mengandungi 25 peratus daripada keseluruhan skrol yang tersimpan di muzeum itu. Keraguan mula timbul apabila laporan skrol yang ditemui di gua keempat sukar diberikan oleh badan berkenaan. Ahli-ahli akademik mula mengkritik badan ini dan menuduh ia cuba untuk menyembunyikan sesuatu dari diketahui umum. Apakah skrol itu menimbulkan kesan negatif kepada gereja dan kepercayaan Kristian?. Dakwaan ini semakin kuat asasnya apabila akses untuk mendapatkan bahan itu dinafikan oleh badan yang dimonopoli oleh orang-orang Kristian itu. Namun begitu, badan tersebut menafikan dakwaan itu dan berjanji untuk menerbitkan sepenuhnya pada 1993. Sikap berdolak-dalik badan itu yang meminta tempoh lebih lama lagi bagi menerbitkan skrol itu berakhir pada tahun 1991 apabila Perpustakaan Hutington di California mengumumkan bahawa ia mempunyai semua skrol yang masih belum diterbitkan, malah membenarkan sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya dengan bayaran yang rendah. Pendedahan ini menyebabkan skrol itu akhirnya menjadi hakmilik umum walaupun cuba dipertikai oleh badan awal yang menyelianya dahulu.

Bab Tiga membahagikan skrol berkenaan kepada dua kategori iaitu materi biblical dan materi sekretari. Sebanyak 170 bahan Bible yang dijumpai mengandungi setiap buku dalam Perjanjian Lama kecuali Book of Esther. Materi Sekretari pula terdiri daripada satu dozen skrol yang lengkap serta beberapa ratus pecahannya. Ia terdiri daripada berbagai bentuk penulisan seperti sajak, komentari bible, esei teologi, teks undang-undang, peraturan agama, manual tentera dan peta harta karun. Materi Sekretari memberikan informasi yang luas dan begitu signifikan kepada perbincangan yang dibawakan oleh penulis. Di antara dokumen kategori sekretari yang penting dibincangkan ialah Skrol Tembaga yang menunjukkan lokasi kedudukan harta karun. Skrol kedua adalah mengenai undang-undang komuniti dan panduan disiplin yang menerangkan hirarki autoriti serta peraturan bagi sebuah masyarakat seperti yang dikehendaki oleh Kitab Taurat. Skrol Perang pula menerangkan perihal taktik perang masyarakat dalam menghadapi musuh mereka yang dipanggil Kittim. Skrol Kuil yang dijumpai di gua sebelas dianggap suci dan dipercayai sebagai salah satu daripada enam buku di dalam Kitab Taurat yang hilang. Skrol Komentari Habakkuk telah menimbulkan kontroversi bila menggelarkan individu yang tidak mentaati ajaran Nabi Musa di dalam Taurat sebagai seorang ‘Penipu’ serta ‘Paderi Jahat’ kepada seorang yang telah membunuh ketua mereka iaitu ‘Guru Kebenaran’. Dokumen Damaskus juga dianggap penting kerana ia sama dengan satu dokumen lain yang telah ditemui di sebuah sinagog di Mesir kira-kira 50 tahun sebelumnya. Kedua-dua dokumen itu menceritakan perihal sebuah mazhab orang Yahudi yang menentang autoriti agama di Jerusalem yang didapati bercanggah dengan ajaran Taurat. Walaubagaimanapun, dokumen di Qumran ini didapati lebih lama dan lengkap berbanding yang dijumpai di Mesir.

Pada dasarnya pengkaji bersepakat bahawa Skrol ini ditulis oleh penduduk Essenes di Qumran sejurus selepas kematian Jesus. Namun bagi Pasukan Pengedit Antarabangsa, mereka percaya bahawa ianya telah ditulis oleh mereka yang mengamalkan kehidupan rahib di biara. Pandangan ini ditentang oleh ramai sarjana bebas yang memberikan beberapa alasan bahawa penduduk Essenes di Qumran bertentangan dari jangkaan sebenarnya. Antara alasan itu merujuk kepada runtuhan kubur yang mengandungi wanita dan kanak-kanak; sedangkan paderi menghindari perkahwinan. Selanjutnya para pengkaji seperti Prof. Eisenmenn Mendakwa bahawa perkataan Essenes itu sendiri merujuk kepada makna ‘pengamal Syariat’ berbanding ‘suci’ dalam bahasa Hebrew. Namun pandangan dari ahli sejarah kuno seperti Josephus dan Pliny yang menyatakan bahawa golongan Essenes telah menjalani kehidupan kerahiban itu boleh diakui sebagai suatu bentuk penyamaran puak berkenaan bagi tujuan mengelakkan mereka diperangi oleh orang-orang Rom yang menentang pelaksanaan ajaran Taurat. Bahkan melalui skrol ini, sifat sebenar orang Essenes yang berpengaruh serta kuat berpegang dengan ajaran Nabi Musa sehingga sanggup berperang dengan kerajaan Rom yang kuat itu diperjelaskan oleh bab empat buku ini.

Bab lima membincangkan secara khusus hubungan di antara Skrol Laut Mati dengan agama Kristian. Ini mungkin disebabkan skrol berkenaan ditulis sejurus selepas lahir Jesus dapat memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai agama Kristian berbanding penulisan sebelumnya. Di samping menonjolkan kebanyakan persamaan ajaran dan amalan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Baru, skrol ini telah mengemparkan dengan menceritakan perihal tokoh-tokoh kontroversi seperti James, paderi Sadusi, Paul, paderi yang Jahat dan si penipu.

James yang dinyatakan oleh Bible didapati bertepatan dengan perihal James yang dimaklumkan sebagai Guru Kebenaran dalam skrol ini. Bible memberitahu bahawa saudara Jesus iaitu James adalah ketua dari kalangan Nazareth (komuniti asal Jesus) adalah sama dengan makna dan identiti James yang difahami sebagai ‘Zaddik’ (yang benar) di dalam bahasa Hebrew itu. Lebih mengejutkan penulis membawa hujah Prof. Eisenmann yang menyatakan bahawa Nazareth dalam Bible bukanlah menunjukkan nama tempat tetapi berasal dari istilah ‘Nozrei-ha-Brit’ yang bermakna ‘the Keeper of the Covenant’. Oleh kerana Istilah ‘Nozrei-ha-Brit’ dinyatakan dalam skrol, maka puak Essenes yang mendiami Qumran adalah dipercayai dari golongan Nazareth atau Nasrani. Hujah ini disokong oleh fakta bahawa dalam bahasa Arab ‘Nozrei-ha-Brit’ adalah Nasrani yang sekaligus membenarkan sifat golongan ini yang taat kepada ajaran Nabi Musa dan Nabi Isa. James dipercayai sebagai pemimpin Essenes atau Nazareth ini sangat kuat berpegang kepada Taurat dan ajaran Jesus dan sering bertentangan dengan pihak autoriti agama di kalangan paderi Yahudi Sadusi di kota Jerusalem. Paderi Sadusi bukan sahaja berkonspirasi dengan Rom yang melantik mereka menentang Jesus dan orang Nazareth, bahkan tidak mempercayai sebahagian ajaran Taurat seperti hidup selepas mati. Penentangan mereka kepada kaum Nazareth ini menyebabkan institusi kepaderian di Jerusalem dikutuk hebat sehingga seorang daripadanya iaitu Anainas digelar paderi yang Jahat ‘the Wicked Priest’ kerana membunuh James ‘Guru Kebenaran’. Skrol yang mendedahkan kewujudan Si Penipu ini juga ditafsirkan sebagai merujuk kepada Paul (mulanya bernama Saul) yang pada asalnya datang bertujuan menangkap orang-orang Nasrani di Qumran. Walaupun beliau akhirnya memperjuangkan ajaran Jesus, beliau tetap dibenci kerana didapati bertentangan dan menyelewengkan ajaran sebenar Taurat. Penyelewengannya sampai ke tahap serius iaitu menyatakan bahawa keabsahan ajaran Taurat hanyalah pada sebelum kedatangan Jesus dan sebaliknya menetapkan bahawa keimanan kepada Jesus memadai untuk mencapai kebahagian berbanding ketundukan kepada undang-undang Taurat. Indikasi beliau sebagai seorang penipu sangat besar kesannya dalam membuktikan persoalan samada agama Christian hari ini benar-benar bersumberkan ajaran Jesus atau hanyalah ciptaan dan khayalan Paul semata-mata.

Suatu lagi pendedahan yang mengemparkan ekoran dari penemuan skrol ini ialah mengenai kehilangan sebahagian daripada Kitab Taurat yang telah dijumpai semula. Kitab Taurat sebenarnya adalah kitab awal daripada lima kitab dalam Old Testament. Ahli sejarah berpendapat bahawa terdapat satu lagi kitab yang telah hilang dan tidak dimasukkan dalam himpunan kitab-kitab yang ada. Ia mengandungi pelan lengkap kuil pertama yang diperintahkan Allah supaya dibina oleh Nabi Daud. Kuil tersebut mempunyai dua fungsi utama iaitu sebagai tempat beribadat dan aktiviti keagamaan serta tempat menyimpan The Ark of Covenant yang menjadi simbol kekuasaan tuhan. Skrol terpanjang yang dijumpai itu menjelaskan bukan sahaja menjelaskan struktur komplek ibadat itu bahkan menyatakan undang-undang dan peraturannya sekali. Oleh kerana skrol itu juga dianggap sebagai suci oleh komuniti Essenes atau Nazareth, maka sekaligus dakwaan bahawa ianya adalah sebahagian daripada komponen kitab suci yang hilang itu semakin kuat dan berasas. Malangnya kedua-dua elemen yang disebut di dalam skrol itu sukar dibuktikan secara emperikal kerana tempat ibadah itu telah dimusnahkan oleh Raja Nebuchadnezzar dari Bablyon pada 586 SM. Tinggalan puing kompleks yang ada hari ini iaitu Masjid al-Aqsa, tembok tangisan dan lain-lain sukar dijadikan bukti ketepatan skrol ini, manakala the Ark of Covenant itu sendiri telah hilang di bawah runtuhan akibat serangan raja berkenaan.

Bab ke tujuh dan kelapan buku cuba mengkritik kontradiksi ajaran yang belaku dalam agama Kristian mengenai Jesus dan membandingkannya dengan ajaran Islam yang konsisten dengan pendedahan skrol. Pandangan kritis penulis mengenai kebenaran Islam dalam menangani fenomena Jesus diperkukuhkan lagi dengan penjelasan dari al-Quran yang disampaikan dalam bab kesepuluh. Kedudukan Jesus dalam Kristian hari ini dijelaskan sebagai suatu ajaran yang banyak bersumberkan Paul. Paul yang tidak pernah berjumpa dengan Jesus itu adalah pengasas dan autoriti penting kepada ajaran mengenai ketuhanan Jesus yang berbeza dengan pandangan Yahudi dan Islam. Oleh kerana ajaran Paul ditolak oleh skrol itu, bermakna ajaran sebenar mengenai Jesus sebenarnya dilanjutkan oleh agama Islam yang agak serasi dengan catatan Ahl Kitab di Qmran itu. Ini membuktikan bahawa sebahagian ajaran seperti Triniti yang mempertuhankan Jesus sebenarnya kontradik seperti yang dijelaskan oleh skrol dan al-Quran. Dalam lain pengertian apa yang ditemui di dalam skrol itu sebenarnya telah dimaklumkan oleh Al-Quran sebagai petunjuk kepada umat manusia. Ia juga dapat membuktikan bahawa apa yang dinyatakan oleh Al-Quran bukanlah suatu dogengan Muhammad bahkan dapat dibuktikan secara saintifik melalui penemuan skrol di Qumran. Ia memperkuatkan lagi kedudukan al-Quran bukan sahaja sebagai sebuah kitab suci tetapi sebagai mukjizat yang melebihi kehebatan sains dan teknologi. Nasib orang-orang Nazareth atau Essenes yang dinyatakan dalam bab Sembilan menyamai nasib orang-orang Nasrani yang ditanggapi oleh Islam. Mereka terpaksa merantau melarikan diri dari serangan dan buruan orang Rom yang kejam disamping berusaha mencari seorang Nabi akhir zaman yang juga merupakan seorang Messiah atau juru selamat seperti Jesus. Hal yang sama juga berlaku kepada orang-orang Yahudi lain yang ada di antaranya berpindah ke Madinah justeru menanti kedatangan seorang Nabi yang akan memimpin mereka menghadapi kezaliman sebagaimana Nabi Musa menentang Firaun.

Kesimpulannya, buku ini telah berjaya menyampaikan mesej kebenaran Islam dalam menghadapi fenomena penemuan skrol di Laut Mati. Kesesatan agama Kristian hari itu berjaya dibuktikan melalui skrol yang menafikan peranan Paul sebagai orang yang membawa ajaran tulin Jesus. Walaupun buku ini tidak membincangkan kedudukan Jesus dari perspektif Yahudi secara detail, sikap orang Yahudi yang sering menolak ajaran sebenar Nabi mereka seperti yang diberitahu oleh al-Quran jelas terbukti benar melalui sikap pemimpin agama mereka yang sanggup bersekongkol dengan kaum Rom dalam memusnahkan Nabi mereka sendiri. Pembongkaran skrol mengenai sikap dan pendekatan kedua-dua golongan Yahudi dan Nasrani ini mungkin tidak lebih daripada apa yang telah dimaktubkan sebagai mereka yang sesat dan dimurkai oleh Allah di dalam Umm al-Kitab Surah al-Fatihah. Persoalannya apakah penyelidikan dari perspektif Islam telah diusahakan oleh umat Islam terhadap skrol ini.? Siapakah yang mampu dan berani bangkit membawa isu ini bagi memperkuatkan kebenaran Islam seperti yang pernah diperjuangkan oleh para pendakwah kontemporari dan tokoh perbandingan agama seperti Sheikh Ahmad Deedat akan terus menjadi cabaran besar dalam menangani dilemma kebangkitan Islam akhir zaman kini.


Rujukan :

1. 2001, Muhammad Azman Hamzah, Ulasan Buku SECRETS OF THE DEATH SEA SCROLLS, Ze Majeed's distributor, Singapura.


2. Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir, JPDK, Universiti Kebangsaan Malaysia