Powered By Blogger

Wednesday, June 2, 2010

TELAH CUKUPKAH PERANAN MEDIA UNTUK DAKWAH ISLAM DI MALAYSIA ?

Media perlu memainkan peranan bersama dalam mengembangkan dakwah Islam pada hari ini. Pengaruhnya sangat besar untuk menarik perhatian pelbagai golongan yang mempunyai variasi tahap pendidikan, latar hidup dan norma kehidupan. Televisyen, radio dan internet sepatutnya mempunyai sumbangan tinggi ke arah membawa Malaysia sebagai pusat dakwah Islam pada hari ini.

Namun begitu, media gagal berfungsi sebagai medium yang diharapkan oleh Islam. Malah pendekatannya hari ini cukup menjerumuskan umat Islam di Malaysia ke arah pertelingkahan sesama Islam, mendekatkan golongan muda kepada budaya hiburan yang tidak pernah lekang ditelan masa.

Setiap kali kita memetik suis televisyen, setiap kali itulah hiburan berkonsepkan realiti akan terpancar. Sasarannya kanak-kanak, belia dan golongan muda. Kita tidak akan membiarkan anak-anak kita terpesong saban hari. Ada yang sanggup kehabisan kredit hanya untuk mengundi idola mereka. Siapa yang untung? Kita sebagai pengguna atau syarikat telekomunikasi yang semakin kaya?

Media sepatutnya memperbanyakkan rancangan berbentuk keagamaan seperti kuiz agama, drama keinsafan pada setiap minggu dan bukannya pada hari-hari keraian Islam seperti Aidilfitri, Aidiladha, Maal Hijrah. Ramai yang akan menjadi penontonnya dengan syarat kita kurangkan hiburan tanpa matlamat.

Media bertanggungjawab sepenuhnya atas keruntuhan akhlak anak-anak kita yang selembut rebung ini pada masa depan. Mereka lebih mudah belajar menggunakan televisyen atau lain-lain media massa daripada mendengar pengajaran seorang guru.
Sepatutnya media berfungsi sebagai :
1. Medium dakwah islam
2. Memotivasikan manusia ke arah kebaikan
3. Amar makruf dan nahi mungkar
4. Memperbaiki akhlak manusia
5. Memberi keinsafan kepada manusia yang terleka
6. Memberi pelajaran yang berguna kepada manusia.
7. Memberi tuntunan rohaniah kepada manusia
8. Mengajarkan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah
9. Untuk mencari kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat

Ingatan buat diri kita yang semakin lupa kerana DUNIA! Tv dan komputer bermata satu, yang paling diminati manusia di dalamnya adalah yang biasanya membawa ke neraka, yang paling tidak diminati oleh manusia adalah yang biasanya membawa ke syurga...... Sebagai kesimpulan, semua pihak perlu memainkan peranan penting menyampaikan dakwah Islam meskipun melalui media.