Powered By Blogger

Tuesday, August 10, 2010

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN


Kita telah berada dalam bulan mulia yang penuh rahmat dan keberkatan. Rakyat Malaysia mula berpuasa hari rabu dan telah mula solat terawih iaitu semalam. Permulaan Ramadhan di kampung saya semalam diteruskan dengan bacaan Yasin dan tahlil untuk dua rumah yang telah kehilangan anggota keluarga masing-masing (Meninggal dunia). Seorang pemuda yang baru berumur dua puluhan kerana terlibat dalam kemalangan, dan seorang nenek yg baru meninggal kemarin. Ditengah kesedihan terdapat pengajaran yang cukup bermakna untuk dihayati oleh kita yang masih hidup bahawa kita ini adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah apabila Dia menghendaki kita untuk kembali. Kepada kita yang hidup, kesempatan yang diberikan oleh Allah berada dalam bulan ramadhan yang mulia ini adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Kesempatan ini belum tentu kita akan kecapi pada tahun depan jika Allah tidak mengizinkan kita berjumpa dengan ramadhan sekali lagi. Oleh itu kita hendaklah merebut peluang yang terhidang dalam bulan ramadhan yang tidak terdapat dalam bulan yang lain.Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam.

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari: Sesungguhnya dikatakan pada Syurga, tidak dikatakan bagi Syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

Ketiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: Puasa merupakn perisai. Dan daripada Uthman bin Abi al-As; Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat. Ini kerana, puasa mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan pada ghalibnya, mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As: Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id, Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak.

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa sekalipun diam dan tidur.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam.

Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa.

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya.

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal dengan bersungguh-sungguh.

Selamat Berpuasa dan semoga diterima Allah.



No comments:

Post a Comment